Boleh dikatakan setiap kali ujian psikometrik diadakan, setiap kali itulah saya menerima banyak pertanyaan tentang cara ataupun tips untuk lulus ujian ini.
Di atas sebab itu, saya akan kongsikan kepada anda beberapa tips penting untuk lulus ujian psikometrik latihan separa perubatan. Terdapat empat perkara perlu anda beri perhatian jika anda nak lulus ujian pada kali ini.
Tips Lulus Psikometrik Separa Perubatan
Untuk membantu anda melepasi tapisan ini, saya akan berkongsi beberapa tips untuk lulus ujian psikometrik ini.
Tips ini dikumpul berdasarkan pemerhatian saya dalam ujian sepanjang 12 bulan yang lalu. Ambil kira maklum balas daripada pemohon yang berjaya dan tidak berjaya itu sendiri.
- Kena konsisten dalam jawapan.
- Kena jadi diri sendiri
- Kena tahu skop jawatan.
- Kena jawab secara jujur.
1. Kena Konsisten
Pemerhatian saya ialah ramai calon ujian boleh membezakan antara soalan positif dan negatif, tetapi tidak dapat memilih jawapan secara konsisten. Sesetengah calon tidak tahu apa itu konsistensi.
Jadi apa sebenarnya konsistensi?
Konsistensi ini berkait rapat dengan sikap seseorang. Selalunya jawapan calon ini bercanggah kerana menjawab secara tidak ikhlas atau cuba menipu.
Sebagai contoh, tiga soalan berikut digunakan untuk menguji sejauh mana pendirian seseorang calon. Sama ada tetap dalam pendirian ataupun tidak.
Soalan 1. Saya selalu bertimbang rasa apabila tanggungjawab kerja membawa kepada kesakitan fizikal atau emosi atau kesusahan orang lain (contohnya, semasa terapi fizikal, suntikan, memberi notis berhenti dan lain-lain).
A. Sangat Setuju
B. Setuju
C. Tidak Setuju
D. Sangat Tidak Setuju
Soalan 2. Orang lain cenderung mengambil kesempatan di atas kebaikan yang kita lakukan.
A. Sangat Setuju
B. Setuju
C. Tidak Setuju
D. Sangat Tidak Setuju
Soalan 3. Seseorang yang sering dibuli adalah kerana mereka yang bersifat penyayang.
A. Sangat Setuju
B. Setuju
C. Tidak Setuju
D. Sangat Tidak Setuju
Melihat kepada tiga soalan ini, terdapat dua sikap yang cuba dicungkil melalui soalan ini. Tips untuk lulus ujian psikometrik ialah anda harus memastikan bahawa pendirian soalan 1, soalan 2, dan soalan 3 sentiasa selari antara satu sama lain.
Bagaimana jika soalan 1, soalan 2 dan soalan 3 bercanggah antara satu sama lain?
Jika jawapan banyak bercanggah, ini menunjukkan bahawa terdapat unsur tidak jujur ketika seseorang calon itu menjawab soalan.
Dalam psikologi, karakter penipu ini tidak mempunyai pendirian tetap, yang menjadikan mereka mudah dikesan.
2. Kena Jadi Diri Sendiri.
Selain daripada konsisten dalam pilihan jawapan, tips seterusnya untuk lulus ujian psikometrik ialah anda perlu menjadi diri sendiri.
Dalam pemerhatian saya, ramai calon menjawab ujian ini cuba menjadi orang lain semasa menjawab soalan. Mereka tidak yakin dengan perwatakan diri mereka sendiri.
Maklum balas daripada pengambil ujian psikometrik sendiri, mereka kata ujian ini mudah dan ada yang mengatakan mereka boleh menjawab semua soalan dalam masa 15 minit.
Sesetengah calon pula memberitahu saya, soalan ujian ini membuatkan mereka pening. Soalan ini seolah-olah cuba nak menggagalkan mereka.
Jika anda jadi diri anda sendiri, mudah bagi anda untuk menjawab ujian ini. Ini disebabkan kesemua soalan hanyalah minta pendapat peribadi sahaja. Pendapat anda tentang diri anda.
Ujian psikometrik ini bakal memeningkan anda apabila anda cuba menjadi orang lain.
Pada ketika ini, soalan ujian psikometrik menjadi lebih sukar, seolah-olah anda cuba mentafsir personaliti orang lain. Soalan di bawah ini adalah contoh soalan yang dapat ‘mengumpan’ calon daripada menjadi diri mereka sendiri.
Soalan 4. Ada masanya saya akan mengumpat.
A. Ya
B. Tidak
Soalan 5. Ada masanya saya juga bercakap bohong.
A. Ya
B. Tidak
Soalan 6. Kadangkala saya juga menangguhkan pekerjaan kepada hari esok.
A. Ya
B. Tidak
Soalan 4, 5 dan soalan 6 boleh diumpamakan sebagai, ditelan mati emak, diluah mati bapa bagi kesemua calon psikometrik.
Mereka nak jawab secara jujur takut gagal disebabkan memang jelas soalan tu bersifat negatif. Mereka nak menipu pun rasa serba salah disebabkan manusia normal memang akan buat perkara tu.
Ramai calon terperangkap dengan soalan seperti ini. Akibatnya, pendirian mereka dalam setiap soalan saling bercanggahan antara satu sama lain.
Dari sudut pihak KPM, dengan mudah mereka boleh nampak kecelaruan identiti dalam jawapan seseorang calon. Tak hairanlah kenapa ramai yang gagal ujian ini.
3. Kena Tahu Skop Kerja Jawatan
Apa yang saya perasan dalam ujian psikometrik sebelum ini, ada sesetengah calon yang menduduki ujian ini sekadar nak mencuba-cuba nasib mereka sahaja.
Kalau ada rezeki, dapatlah lulus ujian ini. Kalau tak lulus, tahun depan boleh cuba lagi.
Bila dapat panggilan ujian, perkara pertama yang mereka cari adalah contoh soalan. Apa skop kerja jawatan itu tidak penting bagi mereka.
Apa yang penting bagi mereka ialah bagaimana contoh soalan dan apa jawapan paling tepat untuk soalan-soalan itu.
Sepatutnya, perkara pertama yang perlu mereka lakukan ialah cuba buat refleksi diri, adakah karakter diri sesuai ataupun tidak untuk menjadi seorang perawatan.

Di bawah ini merupakan soalan-soalan yang pernah digunakan dalam mencungkil kecenderungan karakter perawatan dalam diri seseorang calon.
Soalan 7. Apabila saya sibuk dengan kerja sekolah, saya tidak suka orang lain jumpa saya.
A. Ya
B. Tidak
Soalan 8. Semua budak adalah nakal dan hanya hukuman berat dapat menghalang mereka melanggar disiplin sekolah.
A. Ya
B. Tidak
Soalan 9. Marah merupakan emosi, yang boleh menimbulkan masalah teruk jika tidak dikawal.
A. Ya
B. Tidak
4. Kena Jawab Secara Jujur
Salah satu salah faham terbesar dalam ujian psikometrik ialah calon mempercayai ujian ini menguji kebolehan mereka untuk menilai sikap positif dan negatif.
Sebenarnya tak macam tu. Tujuan ujian psikometrik adalah untuk mendapatkan data personaliti calon. SPA boleh merujuk kepada keputusan SPM sekiranya mereka ingin tahu tahap kepandaian calon.
Tapi bagaimana nak tahu personaliti sebenar calon?
SPA tidak mempunyai data untuk mengetahui personaliti calon. Atas sebab inilah ujian psikometrik ini dijalankan. Tujuannya adalah untuk mendapatkan data personaliti calon sama ada memenuhi kriteria seorang perawatan ataupun tidak.
Di bawah adalah soalan yang menguji tahap kejujuran calon psikometrik dalam menjawab soalan.
Soalan 10. Saya mengajukan soalan dalam majlis dialog yang diadakan.
A. Sangat Kerap
B. Kerap
C. Kadang-Kadang
D. Tidak Pernah
Sesetengah calon tidak pernah menjejakkan kaki sekalipun dalam majlis dialog seumur hidup mereka. Tapi disebabkan mereka ingin tonjolkan diri mereka ini konon-kononnya bersifat positif, mereka sanggup untuk bersetuju dengan soalan 10 ini.
Mereka terlupa soalan psikometrik ini saling berkaitan antara satu sama lain. Cuba anda lihat soalan 11 dan 12 di bawah, soalan ini digunakan sebagai alat untuk mengesahkan jawapan calon pada soalan 10.
Soalan 11. Saya cenderung meluahkan apa yang terkandung dalam fikiran saya dan berkongsi idea dengan orang lain.
A. Sangat Setuju
B. Setuju
C. Tidak Setuju
D. Sangat Tidak Setuju
Soalan 12: Saya tidak suka menghebohkan kejayaan saya.
A. Sangat Setuju
B. Setuju
C. Tidak Setuju
D. Sangat Tidak Setuju
Soalan 10, 11 dan 12 ini digunakan dalam menguji kecenderungan sosial dalam diri seseorang. Dalam kata mudah, soalan ini ingin menentukan adakah seseorang calon itu cenderung ke arah introvert ataupun extrovert.
- Soalan 10: Mencerminkan kecenderungan mudah terlibat dalam komunikasi terbuka.
- Soalan 11: Mencerminkan kecenderungan sifat terbuka dan berani menyuarakan pendapat secara spontan.
- Soalan 12: Mencerminkan kecenderungan sifat kurang gemar berkongsi cerita peribadi atau kurang gemar menjadi pusat perhatian.
Untuk soalan 12, ramai calon akan terperangkap disebabkan mereka cuba menilai soalan berdasarkan kepada andaian mereka sendiri.
“Apa yang saya faham, bila seseorang tu tak suka menghebohkan kejayaan, bermaksud seseorang itu bersifat merendah diri. Sikap rendah diri kan sikap positif, jadi mesti kena pilih jawapan setuju. Barulah positif kan cikgu?”
Inilah kesilapan yang kerap dilakukan oleh calon psikometrik. Mereka terlupa, ujian ini merupakan ujian psikologi. Apabila melibatkan psikologi, setiap soalan wajib dinilai menggunakan teori personaliti. Tidak boleh dinilai kepada andaian sendiri.
“Jadi, soalan 12 tu nak cungkil karakter apa sebenarnya cikgu?”
Kalau anda nak tahu, soalan 12 ini cuba mencungkil karakter introvert dalam diri seseorang. Di mana individu introvert ini kurang terbuka dalam interaksi sosial dan kurang gemar berkongsi tentang diri mereka kepada orang lain. Walaupun sesuatu perkara itu boleh dibanggakan.
Semoga Bermanfaat
Saya harap dengan berkongsi tips untuk lulus ujian psikometrik latihan separa perubatan ini, saya dapat membantu anda membuat persediaan untuk ujian ini nanti.
Pss.. saya ada sediakan 300 soalan psikometrik, berserta dengan huraian jawapan. Setiap soalan ada karakter ‘special’ cuba dicungkil, saya kongsikan apakah karakter itu kepada anda. Dan juga bagaimana nak memilih jawapan yang sesuai dengan karakter seorang perawatan.
Sila klik butang di bawah untuk download.